Kanak-kanak menyertai acara sukaneka mengisi air dalam botol ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ajak warga Kuala Selangor meriahkan kejohanan futsal, sukaneka esok

SHAH ALAM, 1 JULAI: Orang ramai dipelawa hadir memeriahkan Kejohanan Futsal Piala Dato’ Menteri Besar Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang esok .

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pertandingan itu diadakan di Athlon De Futsal, Kuala Selangor bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Juara kejohanan membawa pulang wang tunai RM2,500 beserta piala, naib juara (RM1,500) tempat ketiga (RM1,000) dan keempat RM500. Semua pemenang akan membawa pulang medal.

Tiada yuran pendaftaran dikenakan untuk penyertaan yang terhad untuk 24 pasukan.

Untuk memeriahkan suasana, pelbagai acara diadakan antaranya persembahan artis termasuk Wany Hasrita, senamrobik, pertandingan sukan rakyat, e-sukan dan derma darah.

Program Jelajah Selangor Penyayang yang diadakan di Stadium Utama, Kuala Selangor esok menyediakan banyak inisiatif untuk rakyat.

Dijadual bermula 8 pagi hingga 5.30 petang, program yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar.

Dalam acara tersebut, Amirudin dijadual melancarkan Program Kesihatan Selangor meliputi Iltizam Selangor Sihat, Bantuan Sihat Selangor, Skim Rawatan Jantung dan Peduli Sihat Penjawat Awam.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan IPR supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.


Pengarang :