Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat bengkel automotif selepas majlis penjenamaan Kolej Antarabangsa INPENS kepada Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di Kuala Selangor pada 25 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri tubuh majlis khas tingkat pendidikan, latihan vokasional pelajar India

KLANG, 4 JULAI: Selangor akan menubuhkan majlis khas untuk merangka pembangunan masyarakat India sebelum pembentangan belanjawan negeri 2023.

Dato’ Menteri Besar berkata majlis itu meneliti dan mencari solusi segala isu dibangkitkan komuniti tersebut antaranya melibatkan sekolah, pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta keusahawanan.

“Saya melihat kepentingan untuk kita teliti perkara ini dengan mendalam. Kita tidak mahu lagi bercakap soal impian, tetapi inilah masanya merancang pelaksanaan.

“Saya percaya kalau segalanya boleh diputuskan, majlis khas ini boleh ditubuhkan sebelum pembentangan belanjawan negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap dalam program hala tuju membentuk naratif pembangunan masyarakat India di Malaysia di Hotel Wyndham Achmar di sini, malam tadi.

Program menghimpunkan 96 peserta dari 63 badan bukan kerajaan (NGO) turut dihadiri Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj.

Sementara itu, Gunaraj berkata pihaknya akan mengenal pasti calon sesuai menganggotai majlis tersebut supaya isu membelenggu masyarakat India terutama keluarga berpendapatan rendah (B40) dapat diatasi.

“Kita akan kemukakan kertas kerja kepada beliau (Amirudin) siapa dan berapa anggota dalam majlis tersebut selain peranan perlu digalas.

“Cuma sekarang kita boleh rancang bajet diperlukan untuk mengendalikan program hasil perbincangan bersama peserta hari ini,” katanya.


Pengarang :