Kakitangan Lembaga Zakat Selangor menyampaikan bantuan kepada isteri Abdul Wahid Mohd Adnan Gavala, Marnisah Augobaralle di kediamannya di Rawang pada 5 Julai 2022. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

Zakat Selangor bantu pesakit barah, daftar sebagai asnaf fakir

SHAH ALAM, 7 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan bantuan kepada Abdul Wahid Mohd Adnan Gavala yang menghidap dua jenis barah bagi meringankan bebannya dan keluarga.

Menurut agensi kutipan zakat itu, antaranya bantuan kewangan bulanan, bantuan makanan, sewa rumah, bantuan kecemasan dan bantuan perubatan yang disalurkan mengikut keperluan.

“Selepas menerima berita mendukacita ini, kami terus turun menziarahi Abdul Wahid dan keluarga.

“Rupanya, bukan beliau seorang sahaja yang mengalami masalah kesihatan. Isteri beliau juga mengalami masalah kencing manis dan akan dimasukkan ke hospital untuk pemantauan doktor.

“Insya-Allah, beliau sekeluarga akan didaftarkan sebagai asnaf fakir kami,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Abdul Wahid dilaporkan menghidap dua jenis barah iaitu Peritoneal carcinomatosis (barah bahagian usus) dan Disseminated Restoneal Ewing sarcoma (barah tulang) tahap empat serta sakit jantung.

Dia disahkan menghidap penyakit itu sejak Mei lalu dan tidak dapat bekerja sejak Januari lalu hingga kini.

Selain isteri, Marnisah Augobaralle, 31, beliau juga perlu menampung kehidupan tujuh anak dan ibu, Zubaidah Mohamad, 58, yang turut tinggal bersama.

Sebelum ini, beliau menjual makanan dan berniaga dalam talian selepas meletakkan jawatan sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat pengawal keselamatan pada Oktober 2019.

“Penyakit barah ini adalah penyakit yang berat. Jika kita tidak mampu bantu dari segi kewangan, bantulah dengan apa cara sekalipun untuk bantu mereka kuat melawan barah ini.

“Terima kasih kepada pengeluar zakat di Lembaga Zakat Selangor. Zakat anda telah kami salurkan terus pada mereka yang memerlukan,” katanya.


Pengarang :