EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail bercakap ketika Forum Rancangan Selangor Pertama (Kelestarian) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pasang panel solar, LED di perumahan rakyat berlif galak amalan teknologi hijau

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Selangor bercadang memasang bumbung panel solar dan lampu diod pemancar cahaya (LED) di perumahan rakyat yang mempunyai kemudahan lif.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata pemasangan itu bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sekali gus menggalakkan amalan teknologi hijau.

“Baru-baru ini Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berjaya menerima pelaburan sehingga RM400 juta bagi melaksanakan inisiatif tersebut termasuk ada syarikat yang sanggup melabur RM120 juta.

“Namun, kita perlu serius bagi memastikan semua perumahan ini melaksanakan perkara ini supaya akhirnya kita mencapai negeri bebas karbon menjelang 2025. Insya-Allah polisi ini kita sedang perkemaskan dan pastikan pihak pemaju boleh buat perkara ini,” katanya semalam.

Berucap di Forum (Kelestarian) ketika Majlis Simposium Prapelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, Rodziah berkata Selangor juga sedang mempertimbang melaksanakan moratorium pembangunan perumahan.

“Pembinaan kediaman patut dihentikan sementara waktu bagi memastikan tidak berlakunya lambakan rumah. Namun, dalam tempoh itu kita perlu memikirkan langkah untuk perbaiki apa yang perlu dan tidak,” katanya.

Kelestarian terkandung dalam empat tema utama yang menjadi panduan dalam RS-1 bagi menjayakan agenda Selangor muncul sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025.

Selain kelestarian, tema utama berkenaan turut merangkumi aspek ekonomi, sosial, dan tadbir urus.


Pengarang :