GOMBAK, 10 JULAI: Jumlah haiwan bagi ibadah korban pada tahun ini meningkat walaupun orang ramai berdepan dengan situasi ekonomi tidak menentu, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata situasi itu petanda umat Islam menzahirkan rasa syukur selepas melalui fasa mencabar selama dua tahun kerana Covid-19.
“Saya dapati jumlah lembu yang dikorbankan tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini malahan lebih tinggi dari 2019.
“Ini menandakan ramai melahirkan rasa syukur selepas suasana pandemik yang kian mereda.
“Secara purata di masjid dan surau sebanyak 11 hingga 15 ekor haiwan korban dengan jumlah ini menandakan ekonomi dalam proses pulih walaupun bukan sepenuhnya,” katanya.
Amirudin berkata demikian selepas menjalankan ibadah korban di Masjid Al-Taqwa di sini, hari ini.
Terdahulu beliau dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad serta enam anaknya menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Surau Abrar, Taman Selayang di sini.
Beliau dijadual menghadiri aktiviti penyembelihan lembu sempena ziarah korban di beberapa lokasi di Parlimen Gombak hari ini.