Orang ramai menyertai tarian kebudayaan masyarakat Jepun sempena Festival Bon Odori ke-46 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Rakan karib pahat kenangan pertama kali kunjungi festival Bon Odori

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kunjungan pertama kali ke festival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara di sini malam tadi memahat kenangan manis buat sepasang rakan karib dari ibu kota yang berpenampilan ala-ala gadis Jepun.

Berkimono hitam dan merah jambu, Rias Sofiyah Aminurasyed serta Nur Hasnah Khairul Anwar yang masing-masing berusia 19 tahun teruja dapat melihat lebih dekat keunikan acara kebudayaan masyarakat dari negara matahari terbit.

Nur Hasnah khairul Anwar, 19

Ketika disapa, Rias tidak menyangka festival edisi ke-46 anjuran Kelab Jepun Kuala Lumpur mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai sekali gus membuktikan rakyat tempatan turut menghargai budaya bangsa lain.

“Saya suka budaya Jepun, cuma tidak pernah ke acara seperti ini. Kali ini saya enggan lepaskan peluang kerana mahu gayakan kimono yang dibeli bulan lepas sebaik melihat hebahan berhubung festival ini di media sosial.

“Sebelum datang saya ingatkan tidak ramai tetapi ternyata tekaan saya meleset, kehadiran pengunjung memang di luar jangka sehingga sukar cari parkir,” katanya yang menggemari filem animasi Jepun seperti Doraemon.

Bagi Nur Hasnah, dia terpegun melihat gelagat pengunjung yang mengenakan kimono dan yukata pelbagai warna dan corak sambil bersepatu kayu termasuk aneka makanan dan minuman dijual di deretan gerai.

“Walaupun sesak dengan orang ramai, tetapi saya seronok boleh lihat pakaian digayakan pengunjun lain. Masing-masing dengan fesyen tersendiri,” katanya yang menetap di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Rias Sofiyah Aminurasyed, 19 ketika ditemui di festival Bon Odori dekat Kompleks Sukan Negara pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, seorang gadis yang mahu dikenali sebagai Firzana, 24, gembira kerana berkesempatan menghadiri festival berkenaan selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebelum ini dia tidak pernah ketinggalan menyertai acara terbabit kerana mahu menyarungkan koleksi kimono selain menonton persembahan tarian kebudayaan masyarakat Jepun.

“Inilah masanya untuk saya pakai kimono sebab kalau pakai hari biasa orang akan pandang pelik, apatah lagi langsung tidak dipakai sejak dibeli dua tahun lepas di Jalan Jalan Jepun dan mujur masih muat,” katanya sambil ketawa.

Di Malaysia, Festival Bon Odori antara yang terbesar dunia disambut di luar Jepun dan mula diperkenalkan sejak 1977 bagi mempromosi kebudayaan negara berkenaan kepada masyarakat tempatan.

Acara itu turut mendapat kerjasama Sekolah Jepun sekitar Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun di Malaysia, manakala Tourism Selangor bertindak sebagai badan promosi hampir 15 tahun.

Menerusi festival tersebut, pengunjung dihiburkan dengan persembahan tarian dengan irama muzik berlatarbelakangkan paluan gendang, tiupan seruling dan gong.


Pengarang :