Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fahmi Fadzil berucap ketika Kongres Nasional ke-16 Keadilan di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 17 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pimpinan baharu bergerak dalam satu kumpulan hadapi PRU15

SHAH ALAM, 17 JULAI: Semua ahli Parti keadilan Rakyat (KEADILAN) digesa memberi kepercayaan penuh kepada pimpinan baharu dan bergerak dalam satu kumpulan selepas kongres berakhir untuk memperkuatkan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pengarah komunikasinya yakin kerjasama dan kerja keras segenap ahli di semua peringkat membuka laluan mudah buat parti menerajui Putrajaya.

“Untuk memastikan parti utuh dan kukuh, kita kena bersama beri kepercayaan penuh kepada kepimpinan baharu.

“Kita tahu mereka (parti musuh) risau dengan (gandingan) Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli, ini kekuatan yang paling kuat dan boleh siap siapkan KEADILAN menerajui Putrajaya,” katanya lagi disambut sorakkan perwakilan.

Berucap dipentas Kongres Nasional ke-16 KEADILAN hari ini, ahli parlimen Lembah Pantai mengakui terkilan kerana ada beberapa pihak sanggup menyerahkan tengkuk kepada musuh sehingga membawa kesan yang besar terhadap parti.

Justeru, beliau menyarankan pimpinan baharu termasuk lembaga dispilin untuk lebih tegas mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang mendedahkan perbincangan dalaman parti.

“Mereka yang terlibat sengaja benarkan parti diserang, mengadu domba di luar, menabur fitnah. Pimpinan perlu mengenakan tindakan disiplin,” katanya.

Bertemakan ‘Menjulang Keadilan’ kongres tiga hari sejak Jumaat bakal melabuhkan tirainya petang ini. Kongres kali ini menyaksikan lebih 2,000 perwakilan mengambil bahagian selepas tidak dapat berbuat demikian tahun lalu akibat penularan Covid-19.


Pengarang :