AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pentas tonjol bakat menari, peluang menang hingga RM1,000

SHAH ALAM, 20 JULAI: Karnival Jelajah Selangor Penyayang yang bakal diadakan di Petaling pada 24 Julai ini membuka platform kepada orang ramai untuk menunjukkan bakat menari.

Aktiviti sebahagian daripada program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5.30 petang di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya menawarkan tunai sehingga RM1,000.

Terbuka kepada semua tanpa had usia, juara akan membawa pulang RM1,000, naib juara (RM700), ketiga (RM500) dan keempat (RM300) dengan pendaftaran dibuat sehingga 23 Julai.

Acara lain yang turut menawarkan hadiah tunai antara RM150 hingga RM350 ialah permainan tradisional rakyat iaitu batu seremban, sepak raga ratus dan congkak.

Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Karnival itu turut diserikan dengan persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, jualan barangan asas murah, pameran dan jualan.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Sebelum ini, acara sama berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat dan Stadium Utama Kuala Selangor dengan ketiga-tiganya mendapat sambutan menggalakkan.

Program berkenaan bakal berakhir di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai.


Pengarang :