EXCO Perumahan Rodziah Ismail (dua, kanan) beramah mesra dengan mangsa banjir ketika Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Turut serta EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk hargai sumbangan Kerajaan Selangor, ringan beban mangsa banjir

BALING, 22 JULAI: Ketika ramai mangsa sibuk memindahkan peralatan rumah, fikiran Haslidza Mahmud, 55, tertumpu untuk menyelamatkan 16 ekor kucing peliharaan daripada banjir awal bulan ini.

Meskipun perabot dan peralatan berniaga kuah pecal hanyut dibawa arus, ibu tunggal dari Kampung Raja bersyukur kerana si bulus yang dibela sejak 20 tahun lalu berjaya diselamatkan.

Katanya, kesemua kucing di aras bawah rumah sebelum mereka dikejutkan dengan air yang naik sehingga paras pinggang dalam masa 10 minit, iaitu limpahan Sungai Kupang terletak empat kilometer dari kediamannya.

“Kampung ini tidak pernah dilanda banjir besar dan insiden baru-baru ini memang dahsyat dan mencemaskan. Masing-masing cuba selamatkan diri dan peralatan rumah tetapi waktu itu saya fikir (selamatkan) kucing.

“Saya terkejut apabila air naik sangat pantas dan segera alihkan kucing ke aras atas rumah,” katanya ditemui selepas menerima bantuan Misi Selangor Penyayang 2.0 semalam.

Haslidza adalah antara 163 penerima sumbangan wang tunai RM100, tilam dan selimut yang disampaikan EXCO Perumahan Rodziah Ismail di Surau An Nur, Taman Mesra Kupang di sini.

Bercerita lanjut, Haslidza berkata dia dan anak lelakinya yang berusia lingkungan 30-an berlindung di aras atas sementara menanti banjir surut sebelum mula membersihkan lumpur empat jam kemudian.

“Kami ambil masa tiga hari untuk cuci lumpur yang sangat tebal. Alhamdulillah ada juga badan bukan kerajaan (NGO) termasuk individu yang tampil menyumbang tenaga,” katanya.

Dalam pada itu, Haslidza terharu atas keprihatinan Kerajaan Selangor menghulurkan sumbangan kepada mangsa terjejas.

“Apabila dapat tahu mereka (Kerajaan Selangor) mahu datang ke sini beri sumbangan, rasa syukur sangat, apatah lagi kami terpaksa berlapar selama dua hari disebabkan tiada bantuan sampai.

“Sekarang rumah sudah dibersihkan, cuma perlu fokus bangkit semula selepas bencana. Insya-Allah, minggu depan perniagaan diteruskan kerana buat masa ini banyak perkara perlu diuruskan,” katanya.

Pada 4 Julai lalu, hujan lebat hampir tiga jam di Baling menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga individu termasuk wanita hamil.


Pengarang :