SHAH ALAM, 2 OGOS: Hasil kajian menangani perubahan iklim negeri ini bakal dibentang dalam tempoh empat bulan lagi, kata EXCO perubahan iklim.
Hee Loy Sian berkata perkara tersebut sudah dibincangkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Selangor yang diwakili seorang profesor di Universiti Putra Malaysia (UPM) .
“Kita telah melantik profesor di UPM selaku konsultan untuk mengkaji dan adaptasi berkaitan perubahan iklim.
“Oleh demikian, kita berharap dalam tiga hingga empat bulan dapat keluarkan (come out) apa penyelesaian (solution) dan cara-cara untuk menghadapi perubahan iklim yang akan berlaku,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berhubung perkembangan kajian awal perubahan iklim mengikut kesesuaian infrastruktur sekiranya berlaku banjir.
Pada 21 Mac lalu, Loy Sian memaklumkan Kerajaan Negeri menubuhkan Pelan Tindakan Teknologi Hijau bagi menangani isu perubahan iklim sekali gus mengurangkan pembebasan karbon.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan perbandaran hijau dengan mengguna pakai Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) dalam perancangan dasar di semua peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).