SHAH ALAM, 3 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentang minggu lalu menekankan penambahbaikan di taska dan tadika supaya menjadi sistem sokongan penting buat wanita.
EXCO kesejahteraan bandar berkata kerangka pembangunan lima tahun itu juga bakal menjadikan Selangor sebagai negeri mesra wanita dengan pelbagai kemudahan dan fasiliti khusus.
Rodziah Ismail ketika menggulung usul RS-1 mewakili EXCO Pembangunan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud berkata aspek lain yang ditekankan ialah pengarusperdanaan dan kesamarataan gender.
Jelasnya, perkara lain yang turut diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri ialah komposisi 30 peratus wanita dalam pentadbiran sebagai pembuat dasar dan keputusan.
“Selangor sentiasa komited kepada isu wanita melalui pelbagai program dan inisiatif yang menyentuh aspek bantuan sokongan dan pemerkasaan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.
“Kerajaan Negeri juga berusaha menyediakan sistem sokongan bagi membantu wanita terus aktif menyumbang kepada pembangunan negeri sama ada melalui pekerjaan atau sektor lain.”
RS-1 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 27 Julai mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, usaha negeri itu tidak mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.
Jelasnya, RS-1 juga dirancang bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini antaranya Perang Rusia-Ukraine selain Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat.