SHAH ALAM, 20 OGOS: Jualan murah barangan keperluan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan lagi ke dua lokasi dekat sini esok.
Bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari, lokasi Jualan Prihatin Rakyat diadakan di Masjid Seksyen 7 dan Kampung Melayu Subang.
Menerusi perkongsian Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook produk dijual termasuk ayam segar (RM13 seekor), minyak masak (RM2.50 sekilogram), telur ayam gred B (RM12.50 sepapan), daging (RM39 perpek), sayur dan buah (harga dari ladang) serta ikan (RM10 perpek).
Program diadakan sejak Disember tahun lalu bakal menjelajah ke 160 lokasi di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.
Pada 25 Julai, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim memaklumkan lebih 80,000 rakyat negeri ini menerima manfaat melalui program berkenaan.