Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Rodziah Ismail meninjau program Selangor Saring kawasan berkenaan di Dewan Heritier, Shah Alam pada 21 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Utamakan kesihatan penduduk, wakil rakyat mahu Selangor Saring diterus

SHAH ALAM, 21 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga berkata ramai wakil rakyat mahu program saringan kesihatan percuma diteruskan pada masa hadapan.

Rodziah Ismail berkata Selangor Saring yang dianjur di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat sambutan luar jangka selain memberi manfaat besar kepada penduduk.

“Kerajaan Negeri boleh pertimbangkan perkara ini kerana kita mahu rakyat utamakan kesihatan. Kita bukan hanya jaga kebajikan ekonomi mereka sahaja namun faktor kesihatan juga,” katanya.

Beliau yang juga EXCO perumahan dan pembangunan usahawan berkata demikian ketika meninjau program berkenaan di Dewan Heritier, Seksyen 14 di sini hari ini.

Rodziah menambah hampir 1,000 penduduk sekitar DUN itu dijangka menjalani saringan memandangkan setakat 12 tengah hari tadi lebih 900 individu melakukan pradaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Setakat ini kira-kira 500 peserta sudah menebus baucar. Kita jangka lebih ramai lagi penduduk akan hadir sehingga program tamat jam 4 petang.

“Sambutan memberangsangkan ini membuktikan rakyat semakin sedar kepentingan untuk tahu tahap kesihatan masing-masing dan mencegah penyakit dari awal,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan program yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :