AGENDAJENAYAH

Ugut bunuh adik perempuan, abang dihukum penjara 10 bulan

SHAH ALAM, 22 OGOS: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, kerana mengugut mahu menyebabkan kematian adik perempuannya.

Keputusan itu dibuat Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas tertuduh Ashimatuddin Ali, 33, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan, lapor portal Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk menyebabkan kematian terhadap adik perempuannya yang berusia 28 tahun sehingga menimbulkan ketakutan terhadap mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di daerah ini jam 5.10 petang pada 17 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iffah Nabihah Mohd Ishak.

Dalam kejadian itu, tertuduh dikatakan bertindak sedemikian selepas mangsa enggan meminjamkan motosikal miliknya.

Tindakan itu menyebabkan tertuduh naik angin dan mengugut mahu menyebabkan kematian adiknya (mangsa).


Pengarang :