AGENDASUKANKINI

Piala AFF 2022: Malaysia lawan Vietnam peringkat kumpulan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Skuad Harimau Malaya diundi bersama juara dua kali Vietnam dalam kumpulan B saingan Piala AFF 2022 yang berlangsung Disember ini.

Selain Vietnam, skuad kendalian Kim Pan Gon turut berdepan Singapura, Myanmar dan Laos dalam proses undian peringkat kumpulan yang berlangsung di Bangkok, Thailand hari ini, lapor portal Berita Harian.

Juara bertahan, Thailand pula diundi dalam kumpulan A bersama naib juara edisi 2020, Indonesia selain Filipina, Kemboja dan pemenang aksi kelayakan sama ada Brunei atau Timor Leste.

Thailand melengkapkan kejuaraan keenam mereka pada edisi 2020 yang berlangsung di Singapura, tahun lalu selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 6-2.

Kempen Piala AFF kali ini menjadi medan menebus maruah buat skuad Harimau Malaya selepas berdepan detik mengecewakan tersingkir awal dari kejohanan itu tahun lalu.

Kegagalan melepasi peringkat kumpulan B itu menyaksikan skuad negara dikritik hebat dan memaksa Tan Cheng Hoe melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih.

Namun, skuad negara bimbingan Pan Gon kini tampak lebih mantap selepas mempamerkan aksi cemerlang apabila melepasi kempen kelayakan Piala Asia 2023 dan menamatkan badi 42 tahun untuk mara ke kejohanan itu secara merit.


Pengarang :