Beregu wanita negara Pearly Tan-Thinaah menewaskan pasangan Korea Selatan Lee So Hee-Shin Seung Chan 16-21 21-14 21-18 dalam aksi pusingan pertama Terbuka Jepun pada 30 Ogos 2022. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Terbuka Jepun: Pearly-Thinaah kejutkan beregu nombor dua dunia

SHAH ALAM, 29 OGOS: Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah mengejutkan pasangan ranking kedua dunia dari Korea Selatan Lee So Hee-Shin Seung Chan pada pusingan pertama Terbuka Jepun, sebentar tadi.

Pearly-Thinaah yang berada di tangga ke-11 dunia membenam lawan yang pernah meraih pingat perak di Kejohanan Dunia di Huelva 2021 itu 16-21, 21-14, 21-18 dalam tempoh 1 jam 1 minit, lapor portal Berita Harian.

Kemenangan diraih dalam pertembungan pertama antara Pearly-Thinaah dan So Hee-Seung Chan ini menyaksikan gandingan negara itu dijadual bertemu sama ada Baek Ha Na-Lee Yu Lim (Korea Selatan) ataupun Ashwini Bhat K-Shikha Gautam dari India di pusingan kedua.

Pada minggu lalu, Pearly-Thinaah yang meraih emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 terkandas di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo apabila tewas kepada beregu tuan rumah Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-16, 21-16.

Turut mengekori jejak Pearly-Thinah ialah Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang menewaskan Linda Efler-Isabel Lohau 21-17, 23-21 dalam tempoh 56 minit sekali gus merekodkan kemenangan kedua mereka ke atas gandingan Jerman itu selepas pertemuan kali pertama di pusingan pertama Kejohanan Dunia, minggu lalu.

Langkah kedua-dua beregu ini bagaimanapun tidak dapat diekori satu lagi wakil negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing yang ditunjuk jalan keluar oleh beregu China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting 9-21, 14-21.

Dalam perkembangan lain, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas di tangan beregu ranking ke-18 dunia dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dalam perlawanan yang berlangsung selama 1 jam.

Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking ke-12 dunia dan pernah meraih gangsa di Kejohanan Asia di Manila 2022, tewas 17-21, 21-18, 19-21 pada pertembungan ketiga antara mereka.

Kekalahan itu menyaksikan Shohibul-Bagas kini semakin merapatkan jurang rekod kemenangan kepada 1-2 dalam tiga pertembungan. Sebelum ini, Sze Fei-Nur Izzuddin menewaskan lawan itu masing-masing di Terbuka Indonesia 2021 dan Masters Thailand 2019.

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei berjaya menjinakkan rakan seperjuangan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, 23-21, 22-24, 21-17 dalam satu pertarungan cukup sengit yang berlangsung selama 1 jam empat minit.


Pengarang :