Kakitangan JPS menggunakan Jentera ekskavator milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah tekun menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang di Lata Celak, Baling pada 29 Julai 2022 berikutan berlaku kejadian banjir akibat hujan lebat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

94 mangsa banjir Baling masih di pusat pemindahan, satu sudah ditutup

BALING, 9 SEPT: Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masjid Al Huda, Kampung Hangus ditutup pada 7 malam semalam selepas keluarga terakhir yang berada di situ dibenarkan pulang ke rumah mereka.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Baling Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata bagaimanapun, PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang masih beroperasi.

“Mangsa banjir yang terakhir berada di PPS Dewan Masjid Al Huda, Kampung Hangus adalah satu keluarga terdiri daripada 12 ahli, kesemuanya sudah pulang ke rumah masing-masing manakala PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang menempatkan 94 mangsa daripada 30 keluarga termasuk empat bayi, 21 warga emas, 31 kanak-kanak dan 38 orang dewasa,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata setakat 8.30 malam tadi, cuaca di Daerah Baling baik dan pemantauan masih dilakukan di lokasi dari semasa ke semasa.

Pada petang Selasa lepas, kira-kira 130 mangsa daripada 37 keluarga dipindahkan ke dua PPS terbabit selepas rumah mereka dinaiki air akibat banjir kilat selepas hujan lebat selama lebih dua jam.

Kejadian itu merupakan banjir kilat ketiga melanda Kampung Iboi dan kawasan lain di jajaran Sungai Kupang selepas tragedi banjir dan aliran puing yang meragut tiga nyawa termasuk seorang warga emas dan ibu hamil empat bulan, 4 Julai lepas.

Banjir kedua berlaku pada 28 Julai namun tiada kehilangan nyawa berlaku.

– BERNAMA


Pengarang :