Pelawat mencuba aktiviti ‘joyride’ dengan menaiki helikopter ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang Jaya pada 8 September 2022. Pengunjung yang ingin menaiki kapal terbang atau helikopter hanya perlu membayar pada kadar ditetapkan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelawat perdagangan manfaat Pameran Udara Selangor, teroka peluang baharu

SUBANG JAYA, 9 SEPT: Pelawat perdagangan memanfaatkan penganjuran Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 untuk meneroka peluang baharu bagi mengembangkan perkhidmatan syarikat masing-masing.

Azfar Mukmin Mohd Ishar, 27, berkata syarikat Absolute Detailing Malaysia diusahakannya bersama seorang rakan kongsi sejak 2019 hanya menumpukan perkhidmatan pembutiran automatik.

“Selepas tiga tahun menceburi bidang detailing (pembutiran), kami berasakan sudah tiba masa untuk cuba memasuki pasaran baharu terutama dalam segmen penerbangan.

Azfar Mukmin Mohd Ishar. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Tetapi kami memerlukan operator dan pakar dalam industri terbabit. Oleh sebab itu kami datang ke sini serta berpeluang berjumpa dengan jurutera yang boleh memberi bimbingan,” katanya yang juga pengarah urusan syarikat berkenaan.

Bagi Atina Zukrina Nabilah Zolkifli, 27, pameran edisi kedua itu membuka ruang untuk mengenali lebih banyak syarikat tempatan dan antarabangsa yang terlibat dalam industri penerbangan serta aeroangkasa.

“Pameran kali ini berbeza jika dibandingkan tahun sebelumnya kerana lebih banyak syarikat turut serta termasuk pesawat baharu dipamerkan.

Atina Zukrina Nabilah Zolkifli. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sebahagian syarikat menyertai pameran ini adalah vendor organisasi saya berkhidmat sekarang iaitu Aerotree Defence and Services Sdn Bhd. Dari situ saya boleh kongsikan apa perkhidmatan ditawarkan Aerotree kepada syarikat lain,” katanya yang bertugas sebagai pegawai jaminan kualiti.

Seorang lagi pelawat perdagangan, Sevastian Kung Kim Swee, 24, berkata banyak penambahbaikan dalam pameran kali ini sekali gus mampu menarik minat lebih ramai pengunjung.

“Tahun ini banyak syarikat dron dan sekolah penerbangan buka reruai, jadi ia mendorong ramai individu terutama golongan profesional dan pelajar datang bertemu pemain industri untuk belajar.

Sevastian Kung Kim Swee. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Malah syarikat penerbangan dan aeroangkasa tempatan boleh melihat standard sebenar syarikat luar negara supaya industri di negara kita bergerak seiring dengan trend dan teknologi semasa,” katanya.

Bermula tahun lalu, Selangor menganjurkan SAS di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC) di sini bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

Edisi kedua penganjuran berlangsung mulai semalam hingga esok disertai 56 syarikat membabitkan 63 pempamer antaranya Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.


Pengarang :