Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Meru di Taman Desa Indah, Meru, Klang pada 18 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah Taman Desa Indah Meru tetap dapat sambutan meski cuaca hujan

KLANG, 18 SEPT: Program Jualan Ehsan Rakyat (JER) di Taman Desa Indah, Meru di sini tetap mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat meskipun cuaca hujan.

Tinjauan SelangorKini mendapati rata-rata penduduk enggan mensia-siakan peluang mendapatkan aneka bahan mentah yang dijual pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Penyelia program Muhammad Aliff Ramli berkata ayam dan telur antara dua produk utama yang mendapat permintaan tinggi dalam jualan terbabit.

“Kita bawa 300 unit ayam, daging, ikan kembung, telur, beras dan minyak masak. Walaupun hujan, penduduk tetap beratur kerana mahu merasai semua produk yang ditawarkan.

“Setiap pembelian ayam dan telur dihadkan kepada dua unit, manakala bahan asas lain empat atau lima unit memandangkan kebanyakan orang ramai tidak beli produk ini dalam kuantiti yang banyak,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi jualan ditamatkan jam 1 petang walaupun ada produk yang tidak habis terjual.

“Kebiasaannya banyak barang habis dijual sebelum waktu tersebut terutama ayam, telur dan ikan. Jika ada pun mungkin produk-produk tertentu seperti daging serta minyak masak.

“Lebihan produk tidak terjual akan dibawa kembali ke pusat penyimpanan untuk program jualan seterusnya,” katanya.

Pada 30 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan JER yang dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut menawarkan harga makanan asas pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Program jualan yang bermula 6 September hingga 6 Disember diadakan di sembilan lokasi pada setiap hari kecuali Isnin.


Pengarang :