Tangkap layar video menunjukkan pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran Klinik Desa Kampung Batu 4, Sepintas, Sabak Bernam pada 21 September 2022. Foto Facebook Sabak Bernam Di Hatiku
SELANGOR

Klinik Desa Kampung Batu 4 musnah dalam kebakaran

SHAH ALAM, 21 SEPT: Selepas kebakaran Klinik Kesihatan Parit Baru minggu lalu, petang ini Klinik Desa Kampung Batu 4 di Sepintas, Sabak Bernam pula musnah terbakar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor berkata 13 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam dan Sungai Besar dikejarkan ke lokasi, lapor Harian Metro.

“Sebaik tiba, kami mendapati api marak dan klinik itu sudah terbakar 60 peratus berikutan struktur bangunan diperbuat daripada kayu.

“Api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya jam 5.46 petang,” katanya Norazam Khamis.

Tambah beliau, ketika kejadian terdapat seorang kakitangan klinik terbabit sedang bertugas, bagaimanapun wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pada 13 September lalu, Klinik Kesihatan Parit Baru di Jalan Masjid Kampung Parit Baru, Sabak Bernam, musnah dalam kebakaran pada jam 3.49 pagi.

Norazam berkata insiden itu tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kemusnahan dianggarkan sebanyak 70 peratus.


Pengarang :