AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanjawan Selangor 2023: MTUC saran dana khas laksana program latihan pekerja

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan Selangor 2023 yang dijangka dibentangkan bulan depan.

Ahli Dewan Negeri Kota Damansara yang juga Naib Presiden MTUC Shatiri Mansor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Naib Presidennya Shatiri Mansor berkata sebagai sebuah negeri tumpuan pekerja, peruntukan khas itu dilihat sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Selangor terhadap golongan tersebut.

“Selangor mempunyai kesatuan pekerja paling ramai berbanding negeri lain. Saya harap ada peruntukan sedikit kepada MTUC, sekurang-kurangnya RM500,000.

“Jika diberi peruntukan, MTUC dapat melaksanakan pelbagai program latihan, kesihatan atau pelbagai aktiviti lagi demi manfaat golongan pekerja,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.

Selain itu beliau berkata Selangor perlu menjadi peneraju dalam membela nasib pekerja ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan Negeri diyakini mampu melaksanakan gaji minimum RM1,600 seperti dicadangkan beliau dalam perbahasan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebelum ini,” katanya.

 


Pengarang :