Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (tengah) bergambar bersama ahli dewan negeri, penyelaras DUN dan Parlimen selepas taklimat mengenai Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) pada 30 September 2022. Foto ihsan MBI
AGENDANASIONAL

Wakil rakyat, penyelaras DUN dan Parlimen diberi taklimat skim insurans percuma

SHAH ALAM, 30 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi taklimat mengenai Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) kepada ahli dewan negeri, penyelaras DUN dan Parlimen di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI berkata perlindungan insurans am berkumpulan tersebut memberi manfaat kepada enam juta rakyat di negeri ini yang berumur seawal 30 hari hingga 80 tahun.

Maklum Norita Mohd Sidek, setiap individu menerima perlindungan RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis, melibatkan jumlah perlindungan bernilai RM60 billion yang ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

“Pelaksanaan program akan menggunakan kaedah digital sepenuhnya menerusi Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd (Wavpay), salah sebuah syarikat dalam Kumpulan MBI yang bertindak sebagai pengendali perkhidmatan.

“Rakyat Selangor yang layak boleh mendaftar mulai 1 Oktober 2022 sehingga 30 September 2023 di aplikasi mobil e-Wallet Wavpay yang boleh dimuat turun secara percuma di Android Google dan iOS Apple.

“Maklumat juga boleh didapati melalui pusat DUN dan penyelaras DUN negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini. Selain MBI, turut menyampaikan taklimat ialah EXCO Pelaburan dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim dan pihak Wavpay.

Program INSAN diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri pada 30 Ogos lepas, sebagai salah satu inisiatif  meringankan beban mereka yang dihimpit masalah.

 


Pengarang :