Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas pada harga murah sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua anjuran PKPS di Flat Selayang Mulia,Gombak pada 2 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 300 penduduk DUN Sungai Tua terima bantuan RM3,600 setahun

GOMBAK, 2 OKT: Seramai 337 keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri Sungai Tua layak menerima bantuan bulanan RM300 selama setahun.

Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi berkata setakat ini 80 peratus penerima sudah menerima manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

“Kebanyakan keluarga merupakan penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS). Selain meneliti dokumen permohonan, kita turut minta pengesahan ahli majlis dan ketua kampung.

“Ini sebagai langkah memastikan keluarga yang susah, berpendapatan bawah RM2,000 dapat dibantu secara bulanan,” katanya.

Terdahulu beliau meninjau perjalanan program jualan barangan asas murah Jelajah Ehsan Rakyat di Flat Selayang Mulia di sini hari ini.

Bingkas merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan pada akhir Jun bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.

Pada 1 Ogos, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan bayaran Bingkas diagihkan menerusi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.

 


Pengarang :