SHAH ALAM, 12 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegaskan perbezaan agama dan bangsa tidak boleh dijadikan alasan kepada kezaliman atau permusuhan terhadap penganut lain.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah manusia diciptakan dengan pelbagai kelompok, budaya dan cara hidup berbeza, yang tidak boleh dijadikan alasan untuk saling memusuhi.
Baginda bertitah kewujudan masyarakat berbilang kaum merupakan fitrah kejadian manusia dan turut dianggap sebagai rahmat daripada Allah sebagai pencipta kepada seluruh makhluk.
“Manusia diciptakan dengan pelbagai kelompok, budaya dan cara hidup yang berbeza. Namun begitu, kepelbagaian tersebut bukanlah bertujuan untuk saling memusuhi antara satu sama lain.
“Dari sudut pandangan Islam, perbezaan agama dan bangsa tidak boleh dijadikan alasan kepada kezaliman atau permusuhan terhadap penganut agama atau bangsa lain,” titah Baginda.
Bertitah sempena ulang tahun ke-30 Institut Kefahaman Islam Malaysia hari ini, Baginda amat yakin masyarakat berbilang kaum bersedia berganding bahu dan menghormati anutan agama masing-masing.
Titah Baginda, usaha itu bertepatan prinsip Islam yang mewajibkan hubungan sesama manusia berdasarkan belas kasihan, kemesraan, setiakawan, saling memaafkan dan meraikan kejayaan bersama.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyeru ulama dan cendiakawan Islam untuk mentafsirkan ajaran berdasarkan fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah dan dari sumber yang sahih serta benar.
“Beta mengharapkan ulama dan cendekiawan Islam tidak menggunakan tafsiran ekstrem atau keterlaluan terhadap permasalahan agama melibatkan umat Islam hingga boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Permasalahan agama melibatkan masyarakat Islam perlu diselesaikan secara muafakat dan baik tanpa dibahaskan secara terbuka bagi mengelak perdebatan yang mengundang kekeliruan,” titah Baginda.