Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) Tahun 2022 Daerah Sabak Bernam sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usahawan India lega terima bantuan perkakas, operasi niaga lebih lancar

SABAK BERNAM, 16 OKT: Bantuan Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) melegakan usahawan di daerah ini yang sebelum ini berdepan kekangan kewangan membeli perkakas niaga.

Peniaga kedai makan, K Sandy, 58, berkata bantuan peti ais baharu membolehkannya menyimpan barangan basah seperti ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran.

“Peti ais saya miliki sekarang sudah tidak muat untuk meletakkan barangan tersebut. Selepas ini saya boleh beli bahan mentah dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan berniaga.

“Kalau beli guna duit sendiri memang sukar kerana kosnya mahal, apatah lagi saya bukan orang senang dan pendapatan hanya bergantung kepada perniagaan kecil-kecilan.

“Saya berterima kasih kepada pihak i-SEED kerana meluluskan permohonan saya,” kata ibu tiga anak yang sudah hampir lapan tahun berniaga.

S Kumaraguru, 38

Dia antara lima usahawan menerima cek bantuan i-SEED yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar di sini semalam.

Sementara itu, S Kumaraguru, 38, berkata, set alatan baiki motosikal diperoleh memberi peluang untuk dia meneruskan operasi bengkel motosikal yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.

“Bantuan sememangnya membantu saya yang ketika ini menjalankan perniagaan bersendirian. Jika tiada (bantuan) memang susah untuk saya teruskan kerana wang tidak cukup.

“Saya tak sangka permohonan mudah dan cepat. Terima kasih kepada pihak i-SEED dan Kerajaan Negeri yang memahami keperluan usahawan seperti saya,” katanya.

Sementara itu, G Baboo, 35, gembira menerima bantuan kerusi dan mesin gunting rambut baharu untuk ditempatkan di premisnya yang terletak di daerah ini.

“Saya buka kedai gunting rambut pada 2017 dan tidak pernah menggantikan peralatan, lebih-lebih lagi kerusi yang kini sudah rosak.

“Dengan adanya kerusi baharu saya harap beri keselesaan kepada pelanggan yang datang ke kedai untuk mendapatkan perkhidmatan gunting rambut,” katanya.

Program I-Seed dilancar pada 7 April tahun lalu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan tidak lebih RM10,000 bergantung kepada perniagaan yang mereka usahakan.

Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri ini.


Pengarang :