Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid beramah mesra dengan penduduk Pulau Ketam dalam kempennya di kawasan itu pada 10 November 2022. Foto Facebook Abdullah Sani Abdul Hamid
AGENDANASIONAL

Seminggu berkempen, HARAPAN dapat sokongan positif di Kapar

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 14 NOV: Minggu pertama kempen pilihan raya umum (PRU) ke-15 berakhir kelmarin, namun calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kapar terus mengasak kubu lawan.

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata sokongan pengundi Melayu kepadanya “sangat positif”, manakala dokongan masyarakat Tiong Hua setakat ini “memberangsangkan”.

Beliau berkata maklum balas itu diperolehi antaranya melalui program ziarah kasih, solat berjemaah di masjid, lawatan ke perkampungan Melayu, Cina dan pasar.

“Dua hari sudah (10 November) saya pergi ke Pulau Ketam, Bagan Teochew, Bagan Sungai Lima, Bagan Hailam, di situ ada lebih 6,700 pengundi.

“Alhamdulillah, nampaknya (sokongan) begitu memberangsangkan. Di situ masyarakat Tiong Hua,” kata beliau kepada Selangorkini pada 12 November.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (tengah) beramah mesra dan mengedarkan risalah kempen di Pengkalan Sungai Keramat Batu 4 pada 10 November 2022. Foto Abdullah Sani Abdul Hamid

Ditemu ramah di pejabatnya, beliau menyifatkan sokongan pengundi Melayu pula setakat ini “luar biasa” khususnya di kawasan perkampungan dan taman perumahan.

“Bila saya pergi pasar malam, nampak respon itu sangat positif. Bila saya pergi ke perkampungan yang pernah saya lawati sebelum ini, diulangi komitmen mereka (itu),” katanya.

Abdullah Sani menjawab soalan berhubung penilaian dan maklum balas pengundi selepas minggu pertama berkempen sebelum menjelang pengundian pada 19 November.

Pulau Ketam dan perkampungan Melayu antaranya Kampung Sungai Delek, Sungai Udang dan Telok Gadong berada dalam DUN Selat Klang, dianggap kubu kuat PAS selama ini.

Dalam PRU kali ini, Abdullah berdepan enam lagi pesaing antaranya Dr Halimah (Perikatan Nasional), Dr Daroyah Alwi (PBM) dan Muhammad Noor Azman (Barisan Nasional).

 


Pengarang :