Oleh SHAMZ JOHAN
AMPANG JAYA. 17 NOV: Penyanyi rap, Altimet teruja dengan sokongan padu ribuan penduduk Ampang yang sanggup berhujan ketika ceramah calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Ampang, Rodziah Ismail, semalam.
Pemilik nama Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43, turut memuji kerja keras jentera bagi memastikan program berkenaan berjalan lancar dan aman.
“Alhamdulillah, kita ada letakkan sasaran kehadiran, tapi (kehadiran) melebihi sasaran. Sokongan orang ramai yang hadir sangat menggalakkan.”
“Saya rasa bangga dengan kerja keras jentera yang memberikan sepenuh sokongan kepada calon (Rodziah),” katanya.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Ampang berkata beliau akan memanfaatkan tempoh kempen yang berbaki beberapa hari untuk memenangkan Rodziah.
“Saya tidak mengawal keputusan (PRU), tapi saya boleh kawal usaha saya,” katanya.
Berlangsung di tapak pasar malam Bandar Baru Ampang, ceramah HARAPAN semalam diserikan dengan amanat Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain Roziah, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi turut berucap sementara Dato’ Hans Isaac dan Datuk Afdlin Shauki antara selebriti yang hadir memberi sokongan.