SHAH ALAM, 27 NOV: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menawarkan hadiah wang tunai RM500 kepada pengunjung bertuah sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022.
Perbadanan itu menerusi Facebook memaklumkan sembilan cabutan bertuah akan dibuat setiap hari sepanjang pesta yang berlangsung mulai 1 hingga 11 Disember.
“Anda juga berpeluang menjadi salah seorang daripada sembilan pemenang cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari!
“Jom bersama kami dari 1 sehingga 11 Disember, 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam. Datang beramai-ramai,” maklum PPAS.
Julung kali dianjur Kerajaan Selangor, pesta selama 11 hari membawakan pengedar dan penerbit buku luar negara antaranya Bloomsbury dan Wiley dari United Kingdom dan Brand Media dari Indonesia.
Beberapa aktiviti sampingan antarabangsa turut dijalankan seperti Peraduan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor yang melibatkan penceramah dari luar negara.
Menerusi program ini, peserta berpeluang menyertai bengkel membaca, klinik ilustrator, seminar dan bimbingan daripada penggiat buku kanak-kanak.
PPAS menganjurkan Pesta Buku Selangor sejak 16 tahun lalu, namun pada kali ini memperkenalkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022.