KUALA LUMPUR, 1 DIS: Buat julung kalinya orang ramai berpeluang melihat secara dekat koleksi peribadi keris Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menerusi Pameran Keris: Kuasa dan Jati Diri bermula esok.
Sebanyak 59 koleksi keris milik Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj daripada jumlah keseluruhan 94 keris dipamerkan di Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM) di sini.
Baginda hari ini turut berkenan mencemar duli merasmikan pameran bertaraf antarabangsa tersebut dengan diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Kurator pameran Hariz Ahmad Kamal berkata pameran terbabit adalah kolaborasi bersama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan IAMM.
“Usaha ini adalah untuk mengetengahkan keris sebagai simbol ulung dalam budaya masyarakat Melayu dan kita mahu mendokumentasikan serta mengekalkan warisan budaya.
“Pameran ini akan memperlihatkan sudut pandang baharu mengenai keris, alam Melayu dan kaitannya dengan Kesultanan Melayu,” katanya ketika ditemui SelangorKini.
Pameran tersebut akan berlangsung sehingga 13 Mac tahun depan.