Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
SHAH ALAM, 8 DIS: Empat beranak yang tinggal dalam kereta sejak beberapa minggu lalu ekoran kesempitan hidup mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Agensi itu memaklumkan pihaknya menghulurkan bantuan wang tunai bagi kos makan minum dan berehat sementara di hotel bajet selain menimbang bantuan lain yang bersesuaian.
“Keluarga itu datang dari luar Selangor akibat masalah keluarga telah meninggalkan rumahnya sebelum ini dan berhijrah demi memulakan hidup baharu.
“Hati kami tersentuh melihat anaknya hanya bermain di dalam kereta dan nampak sedikit tekanan pada wajahnya akibat mungkin terlalu lama duduk, tidur dan berbaring hanya di dalam kereta sahaja,” kata di Facebook.
LZS menjelaskan perbelanjaan keluarga itu bergantung pada gaji suami yang bekerja sebagai buruh binaan namun masih tidak mampu mendapatkan tempat tinggal.
Tambahnya, kehidupan suami isteri bersama dua anak itu dikesan Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor malam semalam.