Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bercakap kepada media selepas majlis penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 24 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Program keagamaan ganti sambutan tahun baharu peringkat negeri

SHAH ALAM, 24 DIS: Sambutan tahun baharu peringkat negeri yang dibatalkan akan diganti dengan majlis keagamaan termasuk solat hajat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perancangan program yang diadakan pada malam tahun baharu itu akan dibincang lebih lanjut bersama Jabatan Agama Islam Selangor.

“Kita akan teruskan sambutan di masjid dan surau masing-masing. Kita akan buat solat hajat dengan penganjuran majlis secara sederhana.

“Bagaimanapun Kerajaan Negeri tidak halang mana-mana pihak untuk anjur sambutan tahun baharu tapi kena sederhana kerana ini musim bencana dan kita menghadapi kejadian yang mengorbankan banyak nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di sini hari ini.

Minggu lalu, Amirudin memaklumkan acara sambutan tahun baharu minggu depan dibatalkan demi menghormati mangsa dan keluarga yang terkesan musibah banjir dan tanah runtuh.

Sebelum ini, sambutan tahun baharu 2022 turut diganti dengan majlis tahlil, doa selamat dan zikir munajat selepas banjir besar melanda negeri ini pada Disember 2021.

Selain itu, sambutan tahun baharu 2023 peringkat persekutuan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini turut dibatalkan susulan musibah banjir yang melanda beberapa negeri.


Pengarang :