SHAH ALAM, 24 DIS: Sukarelawan Selangor (Serve Rider) ditubuhkan bagi membantu Kerajaan Negeri menangani situasi kecemasan terutama ketika berlaku bencana, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan berkenaan terdiri dalam kalangan pekerja p-panggilan yang menjadi peserta Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).
“Mereka akan membantu sebagai pasukan sukarelawan bermotosikal. Contohnya menghantar barangan yang diperlukan dan berkerjasama dengan Kerajaan Negeri.
“Seperti banjir di Hulu Langat tahun lepas. Jalan sesak dan menyukarkan pergerakan. Jadi kita gunakan Serve Rider pada masa depan untuk waktu kecemasan dan memudahkan keperluan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan RiDE di sini hari ini.
Amirudin berkata pasukan itu akan berkerja seperti biasa dengan majikan masing-masing sekiranya tiada kejadian bencana berlaku.
“Ini bukan untuk saingan Food Panda, Grab Food, Bungkusit, Lala Move. Ini untuk bantu pasukan Serve iaitu sukarelawan negeri,” katanya.