Pasukan mencari dan penyelamat menjumpai empat lagi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 22 Disember 2022. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri
SELANGOR

Bertemu semula mangsa tanah runtuh Batang Kali yang diselamatkan pahat kenangan manis

OLEH AZIAN AZIZ

HULU SELANGOR, 14 JAN: Bertemu semula dengan dua daripada 61 mangsa yang diselamatkan dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember lalu merupakan kenangan manis dan berharga bagi Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Muhamad Safri Bakri, 33.

Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu berkata, melihat kedua-dua mangsa yang merupakan wanita berusia 30-an dan lelaki berumur 20 tahun berada dalam keadaan sihat membuatkan hatinya gembira.

“Gembira dapat tengok kedua-dua mangsa itu dah boleh berjalan dan tersenyum kerana semasa diselamatkan kedua-dua mereka yang kehilangan ahli keluarga berada dalam keadaan lemah dan trauma, malah mangsa wanita mengalami kecederaan agak teruk.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh Batang Kali yang menerima penghargaan berbual bersama mangsa ketika majlis penghargaan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh Batang Kali di Wisma Antara Gapi, Hulu Selangor pada 13 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Apabila mereka mengucapkan terima kasih dan sampaikan hadiah penghargaan kepada saya dan rakan-rakan, kami rasa terharu. Kami juga ucap takziah atas kehilangan ahli keluarga mereka,’’ katanya.

Muhamad Safri ditemui selepas majlis penghargaan kepada 10 agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika kejadian tanah runtuh berkenaan di pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Hulu Selangor malam tadi.

Menceritakan pengalaman ketika menyelamatkan mangsa wanita, Muhamad Safri memberitahu, ketika itu mangsa terperangkap bersama anaknya yang berusia tujuh tahun di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbalik ke bawah bukit akibat dibawa runtuhan tanah.

“Mangsa dan anaknya tidur di dalam kereta dan suaminya berada di tapak perkhemahan. Semasa saya dan pasukan berjaya masuk ke kawasan runtuhan, suami mangsa yang terselamat bersama rakan-rakannya meminta kami mencari mangsa dan anaknya.

“Oleh kerana cuaca gelap, suami mangsa menjerit meminta isterinya membunyikan hon bagi memudahkan usaha mencari kerana banyak kereta yang dihempap tanah ketika itu dan mangsa membunyikan hon serta memasang lampu sehingga kami berjaya sampai ke lokasi mereka,” katanya.

Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Muhamad Safri Bakri

Tambah Muhammad Safri ketika sampai ke MPV berkenaan, beliau dan pasukannya dibantu anggota Balai Bomba Genting Highlands nampak mangsa di tempat pemandu dengan muka dan mata berdarah namun tangan wanita itu memegang erat kaki anaknya kerana badan kanak-kanak itu telah dihempap tanah di tempat duduk belakang.

“Mangsa minta kami selamatkan anaknya. Rakan saya dari Balai Bomba Genting masuk melalui tingkap depan yang pecah untuk mengeluarkan mangsa sementara saya masuk melalui bonet untuk mengambil anaknya. Oleh kerana kami tidak sempat membawa alatan kami terpaksa mengorek tanah runtuhan untuk mengeluarkan mangsa dan anaknya menggunakan tangan.

“Namun anak mangsa yang berbalut selimut tidak lagi bernyawa ketika dikeluarkan dan mangsa dan anaknya dibawa naik ke bukit dalam keadaan jalan yang licin. Saya sendiri bawa mayat anak mangsa hingga ke atas sebelum mencari jalan keluar bersama mangsa lain yang terselamat secara berperingkat,” katanya.


Pengarang :