SHAH ALAM, 20 JAN: Kadar baucar Jom Shopping Perayaan yang dinaikkan kepada RM200 bermula tahun ini bagi memastikan rakyat Selangor bersama-sama menikmati kemajuan negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha tersebut juga dibuat berikutan bebanan dan peningkatan harga barang yang terpaksa didepani rakyat ketika ini.
Beliau memaklumkan jumlah sama akan diberikan kepada penerima yang layak menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali, yang dibuat konsisten setiap tahun.
“Ini adalah tanda bahawa siapa pun dalam negeri kita akan cuba pastikan tiada yang tersisih, tidak ada yang terpinggir untuk memastikan kita dapat hidup sebagai sebuah negeri yang didiami bersama dan dinikmati kemajuannya bersama-sama,” katanya menerusi klip video di Facebook hari ini.
Jom Shopping Perayaan merupakan bantuan bersempena tiga perayaan utama bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan.
Pada Isnin, Amirudin memaklumkan kadar baucar dinaikkan kepada RM200 setiap keluarga selain had pendapatan bulanan isi rumah ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.
Beliau menjelaskan penerima program Skim Mesra Usia Emas turut layak memohon baucar berkenaan memandangkan kos sara hidup yang agak menekan ketika ini.
Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi pemberian baucar tersebut, yang akan memanfaatkan 82,400 penerima di seluruh negeri.