Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat. Foto Arkib Selangorkini
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN: RM5,000 ganti pemegang tangga rumah pangsa, pastikan penduduk selamat

SHAH ALAM, 23 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang menggantikan pemegang tangga yang usang kepada baharu di Blok A di Flat Rawang Perdana 5 (RP5), Jumaat lalu.

Chua Wei Kiat berkata inisiatif dengan kos RM5,000 untuk kerja menaik taraf pemegang tangga itu demi menjamin keselamatan penduduk di blok tersebut.

“Saya menyedari pemegang tangga dalam keadaan bahaya ketika melawat bencana ribut awal bulan ini dan mengambil inisiatif untuk membaikinya supaya tiada perkara buruk berlaku.

“Setakat ini kita baiki blok A sahaja dan akan mengadakan perbincangan bersama pesuruhjaya bangunan (COB) kerana pengurusan sedia ada tidak berfungsi sekali gus menyukarkan menyelesai masalah dihadapi penduduk,” katanya.

Tambahnya, dengan pengurusan baharu kelak dapat membantu penduduk menyelesaikan sebarang isu secara menyeluruh dan lestari.

Tahun lalu, Wei Kiat bersama Ahli Parlimen Selayang William Leong memperuntuk RM30,000 bagi membaik pulih kerosakan bumbung jejantas di Taman Bersatu, Rawang dekat sini.

Jelasnya, inisiatif diambil dengan peruntukan sendiri demi keselamatan rakyat yang menggunakannya setiap hari.

Katanya, bumbung yang rosak itu membahayakan kerana jejantas adalah laluan utama bagi pelajar dan orang awam susulan terletak berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) San Yuk di Kampung Sungai Terentang.


Pengarang :