KUALA LANGAT, 31 JAN: Sejumlah 47,495 tong sampah boleh alih (MGB) akan diagihkan secara percuma kepada pembayar cukai dan penghuni berdaftar daerah Kuala Langat bermula Februari ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata pengagihan tong sampah dengan kapasiti 120 liter itu dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai diagihkan pada April membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM5.36 juta.
“MPKL akan edarkan kepada penghuni di daerah Kuala Langat yang berdaftar dengan MPKL dan juga pembayar cukai,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.
Beliau yang ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pembersihan dan Penyerahan Tong Sampah kawasan pentadbiran MPKL di Pantai Baru Morib hari ini berkata pengagihan diaturkan mengikut zon dalam daerah Kuala Langat dan diselia oleh Ahli Majlis MPKL bagi setiap zon.
“Dalam daerah Kuala Langat ada 24 zon yang diketuai oleh Ahli Majlis MPKL jadi kita memberi tanggungjawab kepada mereka untuk mengedarkannya di zon masing-masing.
“Usaha ini selaras inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu semua penduduk selain mengekalkan kebersihan Kuala Langat,” katanya.