AGENDANASIONAL

UIS anjur karnival keusahawanan, kerjaya sempena ulang tahun ke-28 penubuhan

SHAH ALAM, 10 FEB: Universiti Islam Selangor (UIS) akan menganjurkan karnival keusahawanan dan kerjaya bermula esok hingga 15 Februari bertempat di kampusnya di Bandar Seri Putra, Kajang.

UIS menerusi Facebook memaklumkan ia adalah antara pengisian dalam karnival dan pameran sempena sambutan ulang tahun penubuhan ke-28 universiti itu.

“Antara program yang diadakan dalam karnival keusahawanan dan kerjaya termasuk bicara kerjaya, pameran kerjaya, forum, bengkel pemilihan model perniagaan dan program kebolehpasaran bakat syarikat,” katanya di Facebook.

Turut diadakan adalah Pameran Antarabangsa mengenai Pemerkasaan Ekonomi Orang Dengan Autism (ISEEPA) 2023, larian penyayang, aktiviti berkayak, memancing, pameran perpustakaan Imam Al-Syafi’i, jualan makanan dan pakaian.

Pusat pengajian tinggi milik Kerajaan Selangor itu melahirkan 27,365 graduan antara 1998 hingga tahun lalu dengan pelajar semasa yang sedang mengikuti pengajian seramai 5,865 orang.


Pengarang :