Seramai 86 peguam syarie baharu menerima bergambar selepas pentauliahan yang disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 9 Februari 2023. Foto Mais
AGENDANASIONAL

86 peguam syarie Selangor baharu terima pentauliahan Jakess

SHAH ALAM, 10 FEB: Seramai 86 peguam syarie baharu menerima pentauliahan daripada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) semalam.

Pentauliahan disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof sambil disaksikan Ketua Hakim Syarie Selangor Dato’ Mohammad Adib Husain.

Abdul Aziz berkata pentauliahan itu menjadi detik bersejarah buat semua peguam syarie dengan segala penat lelah menimba ilmu akhirnya membuahkan hasil.

“Saya percaya mereka bukan hanya berhabis tenaga untuk mencapai impian ini tetapi banyak wang ringgit dilaburkan, masa dicurahkan dan keringat yang dikerah untuk tujuan ini.

“Ini adalah satu bentuk pengorbanan yang menjadikan anda peguam syarie yang kuat kerana telah melalui satu tempoh agak sukar dan mencabar sebelum layak ditauliahkan,” katanya dalam ucapan.

Sementara itu, Mohammad Adib berharap peguam syarie baharu dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan ikhlas demi menegakkan keadilan.

“Saya juga mahu mereka terus mempertingkatkan kemampuan mendalami ilmu pengetahuan yang berhubung kait dengan profesion ini,” katanya.


Pengarang :