SHAH ALAM, 10 FEB: Pameran Udara Selangor (SAS) tahun ini diramal menarik lebih banyak penyertaan syarikat penerbangan dan pengunjung sekali gus memerlukan ruang besar bagi mempamerkan pesawat.
EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim yakin pihaknya dapat menguruskan penganjuran pameran kali ketiga khususnya bagi menampung kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Program bakal berlangsung di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang dengan saiz lebih besar berbanding dua penganjuran terdahulu.
“Bagaimanapun lokasi agak terhad kerana kita memerlukan ruangan besar. Kita yakin mampu menguruskannya. Kita akan pastikan banyak pesawat dapat dipamerkan,” katanya kepada Selangorkini.
Bermula 2021, Kerajaan Negeri menganjurkan SAS bagi mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa selain menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.
Usaha menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) itu juga seiring dengan sasaran negeri sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.
Penganjuran tahun lalu yang berlangsung 8 hingga 10 September mencatat potensi nilai transaksi sebanyak RM1.174 bilion manakala SAS 2021 yang julung kali diadakan merekodkan RM100 juta.