Mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (dua, kanan) diberi penerangan mengenai Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) oleh Pengurus Besar unit khas Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz (dua, kiri) sempena pameran awam pembangunan semula KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 10 Februari 2023. Turut sama Presiden Eksekutif Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mantan MB puji usaha negeri bangunkan semula kompleks sukan negeri

SHAH ALAM, 11 FEB: Mantan Menteri Besar Selangor memuji usaha pentadbiran Kerajaan Negeri membangunkan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang berkonsep teknologi terkini.

Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata sudah tiba masanya kompleks yang turut meliputi stadium negeri dibina semula berikutan banyak kerosakan infrastruktur dan kemudahan dalaman.

“Ini satu perkembangan yang baharu dan menarik. Eloklah perubahan ini dibuat untuk masa depan yang lebih baik kerana stadium yang lama kurang bersesuaian ketika ini.

“Saya harap mana-mana pihak yang diberikan tanggungjawab dapat menguruskan stadium ini sebaik mungkin supaya tidak berlaku lagi kerosakan seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pameran projek pembangunan semula KSSA di pusat beli-belah SACC Mall di sini hari ini.

Pada 2 Februari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata KSSA yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026 dianggar menelan belanja antara RM700 juta hingga RM1 bilion.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kos sebenar kompleks itu akan didedahkan kepada orang awam hujung bulan ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata kos pembinaan stadium itu berpatutan berdasarkan reka bentuk serta teknologi yang digunakan.

“Saya dimaklumkan Kerajaan Negeri tidak akan mengeluarkan perbelanjaan bagi pembinaan stadium baharu itu sebaliknya pihak swasta.

“Saya harap stadium baharu ini dapat digunakan sebaiknya untuk tempoh lama supaya pengendali stadium tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak bagi membaiki apa-apa kerosakan,” katanya.


Pengarang :