Mohamad@Manan Awang mengedarkan borang permohonan Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada pengunjung program Jelajah Ehsan Rakyat dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Kampung Melayu Sungai Buloh pada 9 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program jualan murah ruang salur maklumat baucar beli-belah untuk warga emas

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 11 FEB: Program jualan murah barangan asas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras menjadi medan saluran maklumat mengenai baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada orang ramai.

Ketua kampung Kampung Melayu Sungai Buloh mewakili Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paya Jaras berkata inisiatif itu diambil memandangkan masih ramai tidak mengetahui manfaat disediakan Kerajaan Negeri kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Bila pejabat DUN anjurkan program Jelajah Ihsan Rakyat (JER) kita lihat ini peluang terbaik maklumkan golongan sasar faedah diperoleh seperti pemberian baucar beli-belah bernilai RM150 pada setiap tahun.

“Malah pewaris berdaftar akan menerima bantuan khairat kematian bernilai RM500 dengan syarat ia dibuat dalam tempoh enam bulan selepas penerima meninggal dunia,” kata Mohamad@Manan Awang kepada Selangorkini.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Mulai tahun ini nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.

Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Sebelum ini, peserta skim menerima baucar beli-belah RM100 di pasar raya terpilih pada bulan kelahiran mereka yang dibuat melalui PKM DUN masing-masing.


Pengarang :