EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud bercakap kepada media selepas majlis perasmian Forum Sembang Sihat “Bagaimana pemakanan mempengaruhi kesihatan anda” anjuran Beauty With Brain (5A) di Galabites Lounge, Bukit Jelutong pada 11 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan disaran tambah baik sistem kesihatan, atasi isu sesak di hospital

SHAH ALAM, 11 FEB: Kerajaan diseru menyediakan peruntukan tambahan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2023 bagi memperkasa sistem kesihatan negara, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia bagi menambah baik kemudahan di hospital dan klinik kerajaan selain menambah jumlah petugas kesihatan untuk mengurangkan beban kerja mereka.

“Saya harap lebih banyak peruntukan diberikan kepada KKM untuk menyelesaikan isu menunggu lama dan kesesakan di hospital.

“Rakyat perlu dapatkan perkhidmatan terbaik, manakala kebajikan petugas kesihatan juga perlu dijaga,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu menghadiri Majlis Perasmian Forum Sembang Sihat Wanita Berdaya Selangor di Pusat Komersial Radia Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Beliau yang juga EXCO pembangunan wanita dan keluarga turut mencadangkan supaya kerajaan membentuk satu polisi khas bagi meningkatkan perwakilan wanita dalam politik.

Menurutnya, ia perlu dilaksanakan bagi mencapai sasaran 30 peratus wanita dalam Parlimen seperti dicetuskan sejak kira-kira 30 tahun lalu.

“Sudah tiba masanya kerajaan serius dalam pemerkasaan wanita dalam politik. Saya harap perkara ini perlu ditambah baik dalam sistem pilihan raya, sebagai contoh,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.


Pengarang :