EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berucap ketika majlis perasmian Dewan MPAJ Perwira Jaya di Kampung Perwira Jaya, Ampang Jaya pada 11 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri peruntuk RM5 juta pasang 600 lampu solar, jangka selesai Mei depan

AMPANG, 11 FEB: Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi pemasangan lampu solar di seluruh Selangor yang bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata pemasangan fasa pertama lampu solar yang bermula November tahun lalu telah selesai pada Disember melibatkan 31 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bagi fasa satu, sebanyak 300 lampu solar dipasang antaranya di DUN Pandan Indah, Sungai Ramal, Bukit Melawati dan Selat Klang. Lampu dipasang berwarna merah yang melambangkan bendera Selangor.

“Alhamdulillah, maklum balas diterima positif dan lampu terang. Fasa kedua bermula Mac dan kita jangka pemasangan selesai sepenuhnya pada Mei depan,” katanya selepas merasmikan Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Perwira Jaya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Izham turut meminta wakil rakyat mengenal pasti lokasi-lokasi tertentu yang dapat membantu penduduk sekitar.

“Kita harap lampu solar ini dipasang di jalan-jalan yang tidak ditumpukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Wakil rakyat boleh pilih kawasan mana mereka hendak pasang kerana masing-masing menerima 10 tiang lampu solar yang setiapnya berharga RM8,000,” katanya.


Pengarang :