EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim menandatangani plat ketika majlis perasmian Dewan MPAJ Perwira Jaya di Kampung Perwira Jaya, Ampang Jaya pada 11 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Dewan MPAJ Perwira Jaya dirasmi, mudahkan masyarakat anjur pelbagai aktiviti

AMPANG, 11 FEB: Penduduk di Kampung Perwira Jaya kini boleh menarik nafas lega apabila dewan yang dibina sejak 2017 sudah mula digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan.

Dewan dibina dengan konsep terbuka yang memperuntuk kos pembinaan RM605,000 dan berkeluasan 3,011 meter persegi itu dirasmikan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim.

Beliau ketika berucap berkata pihaknya bersyukur apabila dewan milik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu akhirnya siap dan boleh digunakan penduduk setempat.

“Penduduk sering tertanya mengapa dewan tidak siap kerana berlaku sedikit kelewatan atas beberapa faktor termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.

“Namun, akhirnya dewan ini berjaya disiapkan dan walaupun kelihatan sederhana tetapi ia cantik dan boleh digunakan untuk penduduk selain kosnya lebih murah,” katanya pada majlis perasmian Dewan MPAJ Perwira Jaya di sini hari ini.

Jelasnya, beliau berharap penduduk dapat memanfaatkan kemudahan disediakan dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan kemudahan rakyat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Dewan MPAJ Perwira Jaya mula dibina pada Disember 2017 dan siap sepenuhnya pada November 2018 boleh disewa orang ramai dengan kadar RM100 sejam.

Dewan dibawah seliaan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPAJ itu dilengkapi dengan satu unit bilik mesyuarat, tandas dan 12 petak parkir kereta untuk kemudahan orang ramai.


Pengarang :