Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Rodziah Ismail bersama penerima baucher Jom Shopping SMUE/SMIS bagi DUN Batu Tiga di Dewan Merbau Shah Alam pada 11 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Dapat sambutan, permohonan skim warga emas DUN Batu Tiga meningkat 30 peratus

SHAH ALAM, 11 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga merekodkan peningkatan lebih 30 peratus permohonan baharu Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Wakil rakyatnya Rodziah Ismail berkata pihaknya menerima sambutan luar biasa pada tahun ini atas pelbagai faktor.

“Sejak awal tahun ini, kami terima sangat banyak permohonan. Lebih 40 borang permohonan diluluskan setiap hari.

“Pendekatan Kerajaan Negeri kali ini sangat berkesan. Hebahan dibuat juga agak meluas sehingga maklumat itu berjaya disampai kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu beliau menyampaikan baucar beli belah SMUE kepada 250 penerima bagi Januari dan Februari di Dewan Merbau Seksyen 17 di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan syarat had kelayakan pendapatan isi rumah bagi penerima baucar Jom Shopping ditingkatkan daripada RM2,000 sebulan kepada RM3,000 sebulan mulai tahun ini.

Penerima juga bakal menerima baucar beli-belah RM150 setahun berbanding RM100 tahun lalu serta khairat kematian RM500.


Pengarang :