Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi
ADNSELANGOR

DUN Kota Anggerik tubuh akademi bola sepak cungkil bakat baharu

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 12 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dengan kerjasama Shah Alam Rovers menubuhkan akademi bola sepak bagi menggalakkan penglibatan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dalam sukan itu.

Ahli Dewan Negerinya (ADN) Najwan Halimi berkata Akademi Shah Alam Rovers FC ditubuhkan bagi menyantuni golongan muda khususnya kanak-kanak dan remaja menerusi sukan dan program rekreasi.

“Kita percaya penglibatan awal kanak-kanak dan remaja dalam sukan baik bagi perkembangan fizikal dan psikologi kendiri yang positif untuk menjadi lebih aktif serta sihat.

“Pendedahan holistik ini akan menggalakkan golongan sasar menglibatkan diri secara langsung, beriltizam menjadi atlet profesional pada masa hadapan atau individu yang cerdas dan terus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat dan negara,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina DUN Kota Anggerik di Dewan SJK(C) Pin Hwa 1, Persiaran Setia Murni, Setia Alam, Seksyen U13, di sini, malam tadi. Yang turut hadir Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Najwan berkata selain mencungkil bakat muda pada masa sama akademi terbabit platform kepada ibu bapa menyediakan aktiviti untuk anak mereka pada hujung minggu menerusi pelbagai pengisian yang disediakan.

“Program bermula pagi tadi (11 Februari) dan sambutan amat menggalakkan namun kita akan perhebatkan lagi kempen menerusi media sosial supaya lebih ramai ibu bapa dapat maklumat mengenai penubuhan akademi bola sepak ini,” katanya.

Beliau berkata program dijangka diadakan dari jam 7.45 hingga 9.45 pagi setiap Sabtu. Dengan yuran pendaftaran RM180 dan yuran bulanan sebanyak RM100.

Poster hebahan penubuhan Akademi Shah Alam Rovers FC di Facebook Ahli Dewan Negeri(ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi

Pengarang :