EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bergambar bersama penerima baucher jom shopping SMUE/SMIS bagi ADUN Batu 3 di Dewan Merbau Shah Alam pada 11 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Warga emas teruja terima baucar RM150, rancang belanja keperluan Ramadan

SHAH ALAM, 12 FEB: Warga emas Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga teruja apabila mengetahui nilai baucar beli-belah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) meningkat daripada RM100 kepada RM150.

Mohd Salleh Ujang, 70, berkata beliau tidak mengetahui jumlah baharu baucar tersebut sehingga dimaklumkan oleh petugas ketika penyerahan.

“Ini adalah baucar saya yang ketiga. Saya terkejut lihat jumlah RM150. Syukur alhamdulillah saya boleh beli barangan dapur untuk keluarga,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui ketika majlis penyerahan baucar beli-belah SMUE DUN Batu Tiga di Dewan Merbau Seksyen 17 di sini, semalam.

Bagi pasangan suami isteri, Mohd Hairi Badar, 70 dan isteri Azizah Md Dini, 67, berkata mereka akan menggunakan baucar tersebut bagi persiapan menyambut Ramadan bulan hadapan.

“Ini adalah baucar saya yang kedua. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menambah jumlah baucar kepada kami,” kata pesara swasta ini.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan penerima SMUE bakal menerima baucar beli-belah RM150 setahun, berbanding RM100 tahun lalu, serta khairat kematian RM500.

Syarat had kelayakan pendapatan isi rumah bagi penerima baucar Jom Shopping pula ditingkatkan daripada RM2,000 sebulan kepada RM3,000 sebulan mulai 2023.

SMUE yang turut dikenali sebagai Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) memberi manfaat kepada warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).


Pengarang :