Persembahan arian Bharathanatyam ketika program sambutan perayaan Ponggal peringkat Negeri Selangor Tahun 2023 di Kuil Sri Swarna Maha Mariaman Alayam, Shah Alam pada 11 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sambutan perayaan Ponggal peringkat negeri meriah, tingkat semangat muhibah

SHAH ALAM, 12 FEB: Sambutan perayaan Ponggal peringkat negeri di pekarangan Kuil Sri Swarna Maha Mariamman Alayam Taman Sri Muda di sini meriah dengan kehadiran lebih 1,500 masyarakat India.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) V Ganabatirau berkata sambutan itu meningkatkan semangat muhibah antara satu sama lain serta mengukuhkan keharmonian.

“Pada 2020, kita melakukan sambutan perayaan Ponggal secara dalam talian akibat pandemik Covid-19, namun setelah dua tahun tiada sambutan, kali ini kita anjurkan dan amat meriah dengan pelbagai program.

“Sempena perayaan Ponggal ini, mari kita menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dengan menekankan nilai-nilai murni,” katanya selepas merasmikan sambutan perayaan tersebut semalam.

Ganabatirau yang juga EXCO Kerajaan Prihatin memaklumkan pihaknya memanfaatkan wang peruntukan sambutan perayaan Ponggal bagi tempoh dua tahun yang berjumlah RM90,000 kepada bakul makanan.

“Kita telah menggunakan peruntukan ini untuk dijadikan bakul makanan untuk diagihkan kepada masyarakat memerlukan yang diedar kepada ketua-ketua komuniti kaum India.

“Memang kita tidak pernah sia-siakan bantuan yang diperuntuk khas kepada kaum India. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan peka dengan apa diperlukan masyarakat,” katanya.

Sambutan perayaan Ponggal peringkat negeri tahun ini dianjurkan di tiga lokasi termasuk di Kuil Sri Maha Mariamman Lot 19472 Jalan 1b Taman Muhibah, Rawang pada 21 Januari dan Padang, Seksyen 1 Bandar Rinching Semenyih pada 28 Januari.


Pengarang :