Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian persempelan susulan penemuan bau seakan diesel di kawasan Logi Rawatan Air Rantau Panjang, Bestari Jaya pada 11 Februari 2023. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

EXCO: Tindakan pantas LUAS berjaya kawal pencemaran bau LRA Rantau Panjang

SHAH ALAM, 12 FEB: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menyalurkan air mentah daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut sebanyak 836 JLH berjaya mengawal pencemaran di muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang.

EXCO alam sekitar Hee Loy Sian berkata langkah proaktif itu meningkatkan pencairan sungai serta aliran tercemar melepasi kawasan muka sauk dengan segera.

“LUAS mengambil langkah segera dengan meletakkan tiga oil boom dan juga tiga kotak oil pad di kawasan tumpahan serta menaikkan ban di tebing sungai untuk mencegah tumpahan minyak tersebut daripada mengalir masuk ke dalam sungai.

“Dalam masa sama pemilik telah mengalihkan jentera dan melaksanakan kerja pembersihan berdasarkan arahan LUAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, LUAS memaklumkan sumber air mentah ke muka sauk LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 berjaya disalurkan semula pada jam 1.30 pagi tadi selepas mencatatkan bacaan 0 TON direkodkan tiga kali berturut.

Menurut agensi itu, siasatan mendapati permasalahan pencemaran bau tersebut dikenal pasti berpunca daripada tumpahan minyak aktiviti jentera berat (diesel) di keseluruhan lembangan Sungai Selangor.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan bagi memastikan permasalahan ini diselesaikan sepenuhnya di lapangan berkaitan. Sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata LUAS menerusi Facebook.


Pengarang :