Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) memberi risalah cegah demam denggi kepada orang ramai yang hadir Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pelabuhan Klang di Pulau Indah pada 12 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII
AGENDANASIONALSELANGOR

Wakil rakyat bawa sukarelawan ke jualan murah, bantu promosi cegah denggi

KLANG, 12 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang membawa Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) ke Jualan Ehsan Rakyat (JER) untuk memberi nasihat berkaitan pencegahan jangkitan demam denggi.

Azmizam Zaman Huri berkata SUKA Pelabuhan Klang kini sedang mempergiat usaha mendidik masyarakat supaya sama-sama menghapuskan aedes sekali gus dapat mengurangkan jangkitan penyakit itu.

“Berdasarkan rekod, Pelabuhan Klang antara yang tinggi kes demam denggi kerana pembiakan aedes tidak dikawal dengan baik sama ada kelemahan peringkat kerajaan atau ditimbulkan penduduk sendiri.

“Oleh demikian, SUKA kawasan ini dengan kerjasama pejabat kesihatan Klang sama-sama berkempen mengingatkan penduduk supaya menjaga kawasan perumahan masing-masing dan lakukan pembersihan lima minit sahaja bagi memastikan tiada air bertakung,” katanya ditemui di program jualan murah di Lebuh Samudera 1, Laguna Park, Pulau Indah hari ini.

Pada masa sama, Azmizam menjelaskan pihaknya turut membawa beberapa usahawan di Pelabuhan Klang ke program tersebut untuk mempromosi produk masing-masing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri beramah mesra bersama orang ramai yang hadir ke program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pelabuhan Klang di Pulau Indah pada 12 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII

“Usahawan datang ke pejabat dan minta kebenaran untuk berniaga dan kita melihat program jualan murah platform terbaik kepada mereka memperkenalkan produk kerana dihadiri sekurang-kurangnya 500 keluarga.

“Apa salahnya kita bantu usahawan dan jualan mendapat sambutan daripada pengunjung yang hadir dan harga ditawar pun berpatutan,” katanya.

SUKA ditubuhkan dan dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Ogos 2021, terbuka kepada warganegara menetap di Selangor, berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan.

Disertai lebih 1,800 individu, SUKA anjuran Kerajaan Negeri merangkumi keseluruhan ahli di 56 DUN menjalankan aktiviti kesihatan awam terutama berkaitan pandemik Covid-19.

Program memperuntukkan belanja RM1.2 juta dan setiap DUN menerima RM18,000 bagi membolehkan aktiviti bermanfaat berjalan dan sukarelawan diberi latihan serta kursus berkaitan modul bersesuaian.


Pengarang :